Saturday, August 06, 2011

Ajarilah Kami Al-Quran: Bahagian 1

Aku berlindung pada-Mu, ya Allah (Al Musta'adz) dari perkataan dustaku, Mohon keampunan pada-Mu dari keterbatasan lisanku.


BAHAGIAN 1





“Tuan-tuan dan puan-puan,

Para pelajar adalah golongan remaja yang akan menerajui kepimpinan Negara pada masa hadapan. Oleh itu golongan ini perlu memenuhi kualiti yang diperlukan untuk meneruskan pembangunan negara. Mereka hendaklah cemerlang dalam pelbagai bidang sama ada akademik, ko kurikulum serta sahsiah.”


ANUGERAH KECEMERLANGAN SMK BEAUFORT II
27-Jun-2005

Kita sedar dan telah ketahui bahawa remaja yakni generasi muda adalah tunjang dan nadi pada sesebuah negara. Remajalah yang bakal mencorakkan masa depan negara berdasarkan kekuatan golongan ini kumpul dan miliki. Jika rosak golongan ini, maka pincanglah masa depan negara tersebut. Pelbagai ungkapan dicipta untuk menggambarkan betapa hal ini tidak boleh dipandang remeh.

“anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya”

Begitu juga ungkapan lama seperti

“bapa borek anak rintik”,
“bagaimana acuan begitulah kuihnya”,
“bagaimana contoh begitulah gubahannya”,
“bagaimana ditanam, begitulah dituai”,
“bagaimana rupa begitulah bayangnya”.

Institusi kekeluargaan memainkan peranan utama dalam membentuk generasi cemerlang dan berkualiti. Hal ini telah dihurai panjang oleh Zalila Isa di tautan berikut.

Dari sudut yang sedikit berbeza, ingin saya tarik perhatian pembaca perihal perkongsian saya kali ini. Ajarilah kami Al-Quran. Mungkin inilah tajuk yang sesuai. Terpanggil untuk menulis mewakili rintihan remaja berusia dalam lingkungan 20-an. Seperti kebanyakkan anak muda yang lain, remaja ini terdampar, hilang punca untuk mencari identiti dalam kekalutan pembangunan pesat infrastruktur negara. Keghairahan pentadbiran negara mengejar wawasan 2020 dan status negara membangun (developed country) telah secara tidak langsung, memejamkan sebelah mata perihal pembangunan sahsiah golongan belia remaja di negara ini. Remaja ini…sedaya upaya mencari jalan terbaik untuk tidak terus hanyut sekaligus membina kualiti sahsiah hidup.

Wajah bersihnya tidak berjaya menutup kegusaran yang terbuku dihati. Senyumnya tidak seperti biasa. Pabila ditanya temannya, remaja ini mengadu dan mengakui mempunyai kelemahan  membaca Al-Quran. Bukan tidak tahu, tetapi tidaklah lancar dan masih merangkak-rangkak membaca ayat-ayat kitab suci ini. Kegusaran itu perlu dipandang serius. Perlu difahami, rata-rata sikap masyarakat kita (orang melayu) akan memandang sinis dan memperlekehkan orang seperti remaja ini. Mana tidaknya, bagi orang-orang tua, kebolehan membaca Al-Quran adalah perkara WAJIB bagi orang Melayu-Islam, apatah lagi seorang lelaki.

RINTIHAN

Katanya, dia telah memilih untuk mendaftarkan diri ke kelas tilawah Al-Quran untuk memperbaiki kelemahannya. Petang itu, wajahnya tidak menggambarkan perkara gembira.

Remaja A: Muram je…kenapa? Oh ya, tadi pergi kelas tilawah kan? Macam mana, ok tak?
Remaja B: Malas la aku nak pergi lagi. Aku ingat nak kelas Ustaz lain la. Menyirap je…
Remaja A: Ai? Apsal?
Remaja B: Mentang-mentanglah aku tak pandai baca Al-Quran, dia perli aku kaw-kaw. Nasib la tak ramai orang dalam kelas tu.

Rasanya tidak perlulah saya mencatatkan setiap butir perbualan dua remaja ini. Apa yang ingin ditekankan ialah sikap pendidik dalam membantu pelajar seperti remaja ini. Mungkin remaja B telah berlaku penambahan cerita, tetapi pokoknya adalah permulaan cara mendidik. Saya sendiri pernah melihat beberapa orang tenaga pengajar seolah merasa bosan tatkala diperdengarkan bacaan dari golongan seperti mereka ini. Malah lebih menjelikkan apabila kebosanan itu dizahirkan dengan beberapa dengusan. Bayangkan apakah perasaan mereka di saat itu? Habis hancur luluh segala hasrat mereka untuk mempelajari Al-Quran. Apatah lagi diperlakukan sedemikian rupa oleh ustaz / ustazah. Secara tidak langsung, rosak persepsi mereka tentang perilaku baik golongan ustaz / ustazah.

Kadang-kadang bentuk soalan yang ditanya dan nada pertanyaan juga perlu difikirkan agar tidak menyinggung perasaan mujahideen ini. Sebagai contoh, “tak pernah mengaji ke sebelum ni?” atau "Selalu baca Al-Quran tak?”. Anda nilailah sendiri yang mana lebih sesuai untuk diajukan.

Golongan seperti remaja ini seharusnya diberikan dorongan agar mereka lebih mengenali Al-Quran. Lebih baik, menanamkan sikap mencintai Al-Quran. MEMBANTU dan bukannya MEMBANTUT. Hal ini kerana bukan mudah bagi mereka ini untuk melawan diri mempelajari Al-Quran yang telah sekian lama ditinggalkannya. Perlu juga dilihat aspek psikologi, golongan remaja mempunyai jiwa memberontak yang tinggi. Bagi lelaki, ego mereka akan semakin menebal dan dikhuatiri membuatkan mereka memilih untuk terus membenci mempelajari dan mendalami intipati Al-Quran sekiranya diperlaku sedemikian rupa. Na’uzubillah. Kesungguhan mereka untuk hadir ke kelas Al-Quran merupakan jihad. Maka sanjungilah semangat jihad mereka ini dan tidak wajar diperlekehkan.

Saya yakin para pendidik sebenarnya tahu bagaimana hendak mengendalikan kelas dan berdepan dengan pelajar sedemikian. Cuma mungkin dikaburi oleh emosi dan tekanan sekeliling yang akhirnya perkara tersebut diambil mudah atas dasar menjalankan tugas.  Justeru, saya menyeru para pendidik untuk perhalusi teknik untuk menjadikan kelas lebih menarik sekaligus menanamkan minat terutama pada golongan seperti mereka. Insya’ Allah, berkat usaha tenaga pengajar mampu merubah peribadi mereka. Sesuai dengan firman Allah S.W.T:



"Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian." 
(Al-Isra': 82)

bersambung...

Salam Hormat.

0 comments:

Post a Comment

sahutan perjuangan

 
Copyright © 2010 Mohamad Azfar. All rights reserved.